Friday, November 12, 2010

BerQisah...(part 2)


(sambungan)

Dalam sepi dingin malam, Insyirah muhasabah diri. Usai membersihkan badan tadi, dia mengerjakan solat sunat. Berdoa dan bersujud kerana dirinya terasa jauh daripada kemanisan ibadah.

Dia akui, belakangan ini, dia sudah hilang kemanisan dalam solatnya, zikirnya dan tadabbur Al-Qurannya.

Terasa diri hina kerana sibuk menagih cinta manusia yang ternyata bersifat fana. Dan kini, di sepertiga malam ini, dia menyembah dan bersujud pada Dia yang memiliki segala cinta.

Dia rindukan saat dan rasa nikmatnya ibadah itu. Sungguh, dia ini hakikatnya hamba Allah yang tak punya apa-apa.

Dia tahu benar, andai hambaNya kembali dengan selangkah langkahan taubat, pastinya Dia mengampunkan dosa hambaNya. Namun, disebabkan nafsu, hatinya menafikan kemurahan sifat Tuhan sang pencipta.

'Syira, syira..tidakkah kau nampak semua itu?'

Mata terasa panas.

Insyirah bersyukur kerana Allah masih memaut hatinya ke arah kebenaran. Apa pun takdir yang menimpa dirinya adalah atas kehendak Allah swt. Maka, sebagai hamba yang fakir, dia wajib redha dan ikhlas.

Insyirah menoleh ke arah Aishah yang masih lena. Dia memandang wanita itu dengan segumpal perasaan sayang yang mendasari jiwanya kala ini. Sebagai manusia biasa, jauh di lubuk hati, terdetik satu cetusan rasa kagum dengan peribadi Aishah yang begitu menjaga cinta yang belum layak lagi diserahkan kepada mereka yang tidak halal.

Apatah lagi mereka berdua masih lagi bergelar mahasiswi. Cita-cita perlu didahulukan daripada cinta itu sendiri.

'Kejarlah cita-cita sebelum mengejar cinta. Kejarlah cinta Allah yang kekal abadi', kata-kata taujihad daripada ukhti Hannisa selaku ketua naqibah Insyirah. Kata-kata itu merupakan motivasi kepadanya dan menjadi pegangannya selama ini.

Pandangan mata Insyirah masih tertumpah pada Aishah. Roomatenya itu selalu mendoakan dan membantu dirinya menghadapi pertarungan ini. Juga mebimbing dia ke jalan kebenaran yang diredhai Allah.

Bibir diketap. Hatinya sayu mengenangkan dosa-dosa. Akhirnya, titisan jernih mengalir jua di pipi muslimah itu. Lama sudah dia membelakangi Allah.

"Ya Allah, ampunkanlah aku yang hina ini. Tak tertahan rasanya ya Allah dugaanMu ini. Ku pohon ya Rahman, jadikanlah cintaMu itu lebih aku hargai daripada dunia dan seisinya. Ya Jabbar, sesungguhnya aku memohon cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu.

Ya Rahim, apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa saja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, maka, jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai.

Jadikanlah cintaku kepadaMu lebih aku utamakan daripada cintaku kepada keluargaku, diriku sendiri dan dunia seisinya. Hidupkanlah aku dengan cintaMu dan jadikanlah aku bagiMu seperti apa yang Engkau cintai.

Ya Allah, jadikanlah aku mencintaiMu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaanMu. Aku memohon perlindunganMu daripada cinta yang sia-sia. Aku hambaMu yang lemah ya Rabb. Tak mampu menolak ujian hati sebegini andai tiada bimbingan dan kekuatan daripadaMu."

"Amin, Ya Rabbal, alameen..."

Ucapan taubat itu benar-benar ikhlas dilafazkan. Rintihan taubat menjadikan seseorang hamba dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa. Dosa adalah penyakit dan istighfarlah syifa'nya. Bagi mengelakkan hati menjadi lalai maka dengan istighfar, InsyaAllah, berupaya menjadikan seseorang hamba semakin menebal takwa dan imannya. Itulah yang cuba dilakukan Insyirah.

******

Dua tahun sudah berlalu. Masa berjalan begitu pantas. Udara sejuk bumi Scotland mengelus lembut pipi Insyirah. Terasa baru semalam kaki memijak bumi orang putih ini. Rasa baru semalam berpisah dengan umi, abah, opah, kak long, adik-adik dan semestinya Aishah.

Terbangnya dia ke bumi Scotland ini untuk menyambung masternya di University of Edinburgh, Scotland dalam bidang History of Human.

Dia membuka tingkap apartment. Sekarang ini musim sejuk dan salji turun dengan lebat. Tergelak dia tatkala mengingatkan dirinya yang sangat teruja melihat salji pertama kali di depan mata.

Terasa sejuk, dia mengenggam tangan. Asap nipis keluar daripada mulutnya. Pandangan mata tumpah pada sesuatu di jemari kanan. Bibir mengukir senyuman manis. Cincin belah rotan tersarung kemas di jemari halus wanita itu.

Ya, dia tidak keseorangan di bumi Scotland ini. Ada suami yang menemani. Seorang lelaki yang halal untuk dicintai. Benarlah, sekiranya cinta sebelum nikah itu betul-betul dipelihara, kemanisannnya akan sangat dirasai setelah bernikah. Ada hikmahnya mengapa dia diuji dengan ujian hati dahulu. Dia selepas itu lebih berhati-hati agar cintanya tidak dilempiaskan pada yang sia-sia.

Duhai diriku, ingatlah Allah di mana-mana saja, nescaya Allah tidak sekali-kali melupakanmu. Sujudlah pada Allah, berlindunglah dari segala kejahatan yang nyata mahupun tersembunyi, dari kejahatan seluruh makhluk dan paling penting, berlindunglah pada Allah daripada kejahatan diri sendri. Memang perit bermujahadah itu tapi yakinlah, perjalanan yang sukar pasti ada hikmahnya. Bersabarlah...

"Biarkan Allah yang mengatur segala...Semuanya akan baik-baik saja...Semua Akan Indah Pada Waktunya..."...

Alhamdulillah, Ya Allah...sesungguhnya cintaMu lah yang kudamba selalu...


-nukilan hati-

No comments: