Tuesday, October 11, 2016

Puisi buatmu, suami syurga.

Muslimah itu
berasa bahagia
walaupun cuma seketika
syukur dipanjatkan pada yang Esa
Allah Maha Pemurah

Kebahagiaan tidak akan hadir
andai diri tidak menghargai
Kebahagiaan tidak pernah ada
andai hati tidak tahu mensyukuri
kebahagiaan tidak mungkin nyata
andai jiwa tertanam mazmumah

Muslimah itu
seorang isteri..
memandang sepi
kekasihnya yang pergi 
menggalas amanah pertiwi
air mata cinta jatuh
tidak mampu dihenti
Biarkan dia
biarkan dia melontarkan air mata perpisahan

agar selepas ini
dia mampu tersenyum
bersyukur...
redha dengan lukisan takdir
yang tertulis indah buatnya

Muslimah itu
kini tenang
melalui masa yang tersisa
lalui...
teruskan sayang
InsyaAllah ada bahagia yang menanti
Pasti.

**************
Aidiladha200916
S.Y.U.K.U.R

     Alhamdulillah...
     Alhamdulillah...
     Alhamdulillah...

Tiada yang indah melainkan sujud, bertasbih, memuji kebesaran Ilahi. Subhanallah!
Semoga Allah merahmati..memberkati..melimpahkan kasih dan sayangNya kepada hamba-hambaNya yang tidak pernah jemu meminta dan memohon.
Syukur.

Kenangan terindah; 141115
Hampir setahun, sebulan lagi bakal menjelma..

Aisyah Humairah! Laungan itu memmatikan lamunannya. Aisyah berpaling. "oh, mak..ya mak..ada apa?". Melihat senyuman terukir diwajah mak, menunjukkan kebahagian yang tidak terhingga buatnya, sebagai seorang menantu. "Buat apa tu, sini duduk teman mak." Aisyah lantas meletakkan punggungnya di sebelah Puan Hamia. Sambil memerhatikan ibu mertuanya, Aisyah tidak henti memanjatkan kesyukuran. 'Inilah ibu mertuaku, seorang ibu yang melahirkan 4 orang cahaya mata, dan yang seorang itu merupakan suamiku..Muhammad Khairul Amin. Anak bongsu, yang manja..hee. Hatinya bermonolog sendiri.
   "Aisyah, banyakkan bersabar ya, sedekah..berdoa..mohon semoga urusan perpindahan Khairul dimudahkan." Harapan seorang ibu. "Insya Allah mak, itulah doa Aisyah setiap waktu, mak jangan risau, Allah tahu bila masanya,"senyuman Aisyah meredakan kegusaran yang tergambar di wajah ibu tua itu.

*************
Cinta Jarak Jauh

Jauh,
namun dekat terasa
jauh,
namun hampir setiap masa
wajah itu muncul bersama kenangan
yang terindah

Percintaan ini
sukar andai
tiada kepercayaan
mungkin musnah
jika setia dikhianati
mungkin juga punah
sekiranya
tiada toleransi

Bertabahlah duhai hati
tenang menghadapi semua ini
ranjau kehidupan sebegini
pasti ada sinar cahaya kasih di penghujungnya nanti
hanya
kamu dan aku perlu
teguh
berdiri
mandiri
tegar dan kekar
melawan

Sabarlah wahai kekasih
Allah kan sentiasa disisi
merahmati
Pasti
dan Pasti...
JanjiNya akan tiba suatu hari nanti.

tinta kasih
121016

Wednesday, September 21, 2016

Teguh dalam duka...

Aisyah Humaira'

  Terkedu seketika. "Abang peninglah sayang, pening untuk mengatur masa dan flight ni..asyik-asyik benda ni jer kita bincang..bajet lagi..hurm". Kedengaran keluhan dari corong telefon. 'Rupanya, suami ana berasa terbeban dengan semua ni..'. "Oh, takpelah abang, beginilah..abang tak yah lah balik ya, InsyaAllah sayang boleh selesaikan..ada juga sahabat yang boleh membantu..erm, abang rehatlah ya..nanti kita sambung lagi..Assalamualaikum." Tidak perlu dipanjangkan perbincangan ini, takut-takut kalau ada yang terasa dan berendam air mata..pasti akan merosakkan hubungan. 'Dalam sebuah pernikahan, tolak ansur itu sangat penting. Jangan selalu menunggu untuk menerima dan diterima, namun...belajarlah untuk memberi dengan kasih sayang serta berlapang dada. Cebisan kata-kata daripada seorang yang berpengalaman, tergiang-ngiang dalam minda Aisyah.

  Andai ditakdirkan suaminya tidak pulang, dia sendiri tidak kisah jika perlu untuk menguruskan segalanya, namun yang membuatnya terkilan..kata-kata suaminya itu. Mungkin, boleh saja suaminya berkata.."Maafkan abang ya, harga tiket mahal, keadaan cuti dan masa abang pun susah untuk ditentukan dan buat keputusan..tapi insyaAllah abang cuba usahakan..jika abang tidak dapat bersama sayang, abang doakan semoga urusan sayang dipermudahkan ya.' Halus dan menjentik qalbu seorang isteri. Dalam penolakan, ada bahasa kasih sayang yang dilontarkan. Aisyah berteleku..terdiam sebentar memerhatikan sekeliling. Cuaca yang mendung seakan faham isi hatinya.

  Aisyah gemar berpuitis..bila sedih..gembira..semuanya dilakarkan pada helaian usang..warkah kasih..tinta cinta buat sang pemerhati.
  "Suamiku...
maafkan..andai permintaanku membebankanmu..
maafkan..jika gelodak rasa cintaku menjerat masamu...
maafkan..sekiranya aku terlalu ingin dipenuhi..
terlalu ingin dikasihi..
terlalu ingin disimpati..

aku ini isterimu..
hanya kamu...
Iya..KAMU...
lantas,
apa perlu aku ingin meminta kasih sayang dengan ajnabi?
tidak..hanya kepadamu yang layak
kerana kamu Kekasih halalku..

jika aku bertatih..
letih..
inginkan simpati..
cinta..kasih...
aku hanya perlukan kamu
aku perlukan dokonganmu
semangat dan motivasi darimu
ingin bersama-sama melalui liku
bersama mengharungi suka..
namun..

tidak mengapa..
kini aku tahu..
bukan semua isteri perlu pendamping yang teguh
kadang juga perlu berdiri sendiri
mandiri..
demi menjalani hidup..
hanya Allah tempat bergantung

kata-kata itu kembali lagi
La Tahzan!!!
Innallaha Maana..

Bangkit."

Aisyah menutup ruang desktopnya.
Kelas ganti berakhir..bunyi deringan loceng menunjukkan masa tamat.

doanya...semoga Allah sentiasa merahmati suamiku..amin

SMKBT
220916

Saturday, June 1, 2013

Insya Allah..Inilah yang terbaik.

Insya Allah..Inilah yang terbaik.
  
     Hembusan angin yang semilir bertiup lembut masuk dari celahan tingkap bangunan kolej kediamannya. Membawa bersama berita suka..juga mungkin duka bagi si dia yang menerimanya. Aisyah Humaira', mentafsir isi emel yang menjenguk ruang inbox nya awal pagi ini. Setiap persoalan kini telah terjawab dengan jelas tanpa perlu pentafsiran hakiki. 

               "Ana mohon enti terimalah muslimin yang lebih baik dan layak berkongsi cita-cita serta impian yang  sama dengan enti, ana bukanlah muslimin itu. Kita tamatkan semuanya disini, dan buanglah setiap kenangan yang pernah hadir dalam lipatan perhubungan kita agar enti mampu membina kehidupan yang baru bersama muslimin yang lebih baik dari ana, dengan hati yang ikhlas...maaf enti, mungkin nampak mementingkan diri, namun inilah hakikatnya, ana tidak mampu untuk memenuhi dan merealisasikan janji serta impian yang pernah tercipta suatu ketika dulu...semoga enti tabah menghadapinya..
-AA:1 Jun 2013-

Usai melihat isi emel itu, Aisyah termenung seketika, "Allahurobbi..inikah jawapan untuk setiap ujian yang Engkau berikan?, mengapa berat untuk hamba redha, mengapa terasa ada duri yang halus mencucuk tangkai hati ini?, astaghfirullahaladzhim...".Setitik dua...akhirnya tubir mata Aisyah mengalirkan manik-manik jernih...'Kuat Aisyah, tabahkan hatimu..ini ujian yang sekian kali perlu dilalui..belajar untuk redha..Ingat, janji Allah itu pasti, pasti ada hikmah yang besar masih tersembunyi dan akan muncul selepas ini...' bisikan hati berjaya meniup roh kebaikan dalam imannya. Aisyah bangkit, satu tujuannya, bersihkan diri untuk menemui Kekasih Sejati.

       Di atas Sejadah Cinta, Aisyah berteleku, memanjatkan doa dengan harapan dan ketaqwaan kepada Yang Maha Pencinta.."Ya Allah, Ya Tuhanku, kepada-Mu hamba panjatkan kerinduan dan kecintaan, Bimbinglah hati ini, tuntunlah jiwa ini menuju cinta dan kasihMu, jangan biarkan diri ini hanyut bersama kesedihan akibat kesakitan yang tidak selayaknya hadir dalam hati ini..Ampunkan diri ini Ya Allah..sesungguhnya hanya kepadaMu tempat hamba memohon pertolongan dan menggantungkan setiap harapan..amin..." Terasa aliran semangat yang baru mengalir dalam darah, membantu jantung mengepam pernafasan dan akhirnya satu roh jihad lahir dalam hatinya.

'Astaghfirullahaladzhim..jahatnya ana, menduakan Cinta Sang Pencipta dengan makhluk ciptaanya.'Alunan selawat mematikan lamunannya, menandakan ada satu mesej yang masuk ke dalam inbox iphone Aisyah. 

-Salam enti, free x ari nie?, ana nak mta teman g Raudatus Sakinah. Asif cz last mnite..ble?-Iman 

'Allah mengetahu kelemahan hambaNya, didatangkan kesibukan agar dirinya kuat untuk memikirkan masalah umat berbanding masalah peribadi'. Senyuman mula terukir di wajah mulus itu. 

-Waalaikumsalam..iA ana free..nak g pkul bpe ye?, nk gerak, msg ana ye..-AH

-Baik..syukran kathir..=)-Iman

"Ummi risau tengok Aisyah ni, masuk tahun ni, ummi dan tolak dua pinangan dari keluarga yang baik..kalau difikirkan tiada sebab untuk kita tolak pinangan orang-orang yang baik..melainkan Aisyah ada alasan sendiri." Puan Zubaidah cuba mengetuk pintu hati anak perempuannya. Sebelum ini, Aisyah seolah-olah melarikan diri jikalau hal masa depan cuba dibincangkan. Sangat ketara perlakuannya, dengan gaya yang seakan-akan tidak faham tentang perkara yang cuba disampaikan oleh umminya. terbukti, detik ini..Aisyah tekun menjahit tudung labuh dengan hanya sesekali memandang umminya. 

"Aisyah... Aisyah ada menunggu seseorang ke?, bukan apa, ummi tak nak orang kata ummi ni memilih menantu, padahal ummi terima siapapun pilihan anak ummi, yang penting mampu membimbing anak ummi, kerana Allah." Ketekunan Aisyah menjahit tudung menimbulkan sedikit kejengkelan pada Puan Zubaidah. Persoalan dibiarkan sepi. 'selalu macam ni, bila ditanya diam..tak boleh jadi ni, kena buat sesuatu'. Kesabaran Puan Zubaidah memuncak. "Aisyah Humaira!, masih menunggu Akmal Amilin?, ". Tersentak,!! "Ya Allah..aduh ummi, sakitnya, jari Aisyah terkena jarum.." Ya Allah Aisyah, kenapa cuai sangat ni, dah simpan tudung tu, biar ummi yang tolong jahit, pergi amik palster kat atas kabinet tu..". 'Kesian anak ummi, ummi tahu, Aisyah masih menunggu muslimin tu..semoga ada pengakhiran yang indah dalam hidupmu, nak.

      "Pin..Pin..Pin!!, bunyi hon kereta mematikan khayalannya, terbang setiap cerita yang berlaku ketika Aisyah balik kampung menziarahi umminya. 'Maafkan Aisyah ummi, bukan niat untuk selalu membiarkan persoalan-persoalan ummi sepi, tapi Aisyah tak kuat untuk menafikan dan membubarkan janji yang pernah dirancangkan. Namun, kini..ummi tidak perlu risau lagi...Insya Allah, ada jawapn untuk persoalan ummi dua minggu lepas. ya Allah, bimbinglah hamba dalam membuat keputusan ini.'

-Salam enti, ana kat bwh nie, jom??-Iman

Aisyah melambaikan tangan kepada Iman. Senyuman terukir..Aisyah lantas menyarungkan kasut. Destinasi rumah perlindungan itu dituju.

     Masih banyak masalah umat yang perlu difikirkan, berbanding memikirkan perkara yang sememangnya tidak pasti. Bukan dia yang memutuskan, tetapi semuanya telah tersurat dalam rahsiah karangan Ilahi. Insya Allah ada sinar kebahagian akan menjelma di hari esok. Tinggalkan dan buang setiap kenangan yang pernah terjalin atas dasar ikatan pertunangan dan janji yang dipateri. Janji dibina untuk kelangsungan dakwah, dan terlerainya juga hari ini, atas persetujuan untuk niat yang sama. 

"Ana doakan enta mampu membimbing dia menuju kasih abadi, walaupun sakit terasa pada awalnya, namun atas tuntutan dakwah di bumi Anbiya', ana hormat keputusan enta..teruskan mengabdikan diri.."
-AH : 2 Jun 2013-



Saturday, June 2, 2012

Allah Sentiasa Ada Untuk HambaNya...

    Seperti mahasiwi lain, Aisyah juga disibukkan dengan persiapan menghadapi peperiksaan hujung semester minggu ini. Cuma yang membezakan peperiksaan pada kali ini, adalah tarikhnya hampir dengan tarikh dan masa untuk turun ke gelanggang sebenar, lapangan tarbiyyah yang lebih mencabar. Latihan Mengajar. Jika sebelum ini, setiap teori yang dipelajarinya, diambil dan diproses kemudian dicerna sebaik mungkin untuk pengamalannya di kemudian hari, namun hakikatnya dalam beberapa minggu lagi, pencernaan ilmu itu akan diterjemahkan di medan dunia sebenar. Lamunan  dan bisikan mula menari di tayangan hati dan mindanya. 

     'Kuatkah ana?, Tabahkah ana?  Mampukah ana menghadapi kerenah dan peel manusia yang sememangnya ada seribu satu macam?, Subhanallah, Ya Allah, beri hamba kekuatan...Sesungguhnya kata-kata kekasihmu..."Allah dan seluruh Malaiktnya serta penghuni langit dan bumi, sehingga semut yang ada di dalam liangnya dan ikan yu semuanya memohon kerahmatan ke atas orang yang mengajarkan ilmu kepada manusia"-(Hadis Riwayat Al-Imam At-Tirmizi), ibarat simiran angin yang menjadi penyejuk hati ini agar tabah untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan yang berlaku nanti..aku yakin! aku mampu melakukannya.. Allah pasti sentiasa bersamaku.' Senyuman manis terukir dibibirnya. 

    "Ukhti Aisyah yang disayangi...mengelamun sampai ke bintang ke? " Fatimah, sahabat baiknya bersuara sambil mengoyang-goyangkan tangan dihadapan wajah Aisyah. "Subhanallah...astaghfirullah...enti, terkejut ana.". Aisyah kelihatan kalut diterjah sedemikian, walaupun lembut kedengaran namanya dipanggil, namun terasa ingin luruh jantungnya, terbang semua bisikan hati tadi bersama goyangan halus tangan sahabat seperjuangannya itu. "La, asif-asif...ana tak sengaja, maaf ya enti.." Fatimah berasa bersalah membuatkan sahabatnya itu terkejut sedemikian rupa, sehingga tangannya kelihatan sedikit menggeletar. 'Apa yang ana lakukan ni..', "Enti ok tak ni?, janganlah diam je, ana risau ni.." suara Fatimah kedengaran bergetar, rasa bersalah menyelebungi dirinya, tidak pernah dia melihat keadaan Aisyah sedemikian. Mungkin tegurannya tadi membuatkan Aisyah diam seribu bahasa. "Imah, jangan risau...ana cuma terkejut sikit je tadi. Ana tengah fikirkan keadaan praktikal kita nanti, ana risau...ana tak mampu berikan yang terbaik untuk anak-anak didik nanti...ana takut ilmu yang ana ajarkan nanti menyimpang dari kebenaran, ana risau...", tiba-tiba manik-manik jernih mengalir dari tubir matanya. Tidak disangka kerisauannya menzahirkan kesedihan sebegitu. Hatinya teasa pedih. Takut, bimbang, khuatir dan risau, bercampur baur menjadi satu. 

     Aisyah...(si manis bermata bening), air mata seolah peneman dirinya, kesedihannya pantas tergambar bila hatinya terusik berkaitan soal tanggungjawab.' Fatimah lantas mendakap sahabatnya. 'Murninya hatimu sahabatku'. "Aisyah...insya Allah, kita mampu menghadapinya. Jangan risau, niat kerana Allah, Allah akan sentiasa bersama kita dan membantu hambaNya yang membawa dakwah dan agamaNya, kan Allah sentiasa bersama sangkaan hambaNya?, Insya Allah..jangan risau ya.." Pelukan dileraikan. Fatimah lantas mengusap air mata Aisyah. Senyuman berbalas. 

    Melihat senyuman manis Aisyah, timbul idea di benak Fatimah, hendak mengusiknya. "Ana ingatkan enti duk fikir tentang cadangan Ustazah Izzati..sampai tak sedar kedatangan ana, kusyuk sangat.." Fatimah cuba mengorek rahsiah hati sahabatnya. Dia tahu Aisyah menemui Ustazah Izzati dua minggu lepas, jika bertemu empat mata dengan naqibah usrah mereka itu, pasti ada sesuatu yang disuarakan berkaitan masa depan mereka. Dia juga pernah melalui perkara yang sama sebelum ini. Cuma berbeza dengan Aisyah, dia hanya sekali diberi ujian begini, tapi sahabatnya itu..terlalu disayangi olehNya, ujian silih berganti, membuatkan Aisyah menjadi muslimah berhati 'kering' seperti itu.

    "Em, maksud enti?, cadangan apa ya?". Aisyah cuba menutup debaran yang kian terasa. "Aisyah Humaira' si kemerah-merahan....sekilas ikan di kali, ana tau jantan betinanya...jangan nak tipu ana..kita dah lama kenal, daripada semester satu, ana tahu enti cuba menafikannya dan berusaha menjauhkan diri daripada bercerita tentang hal ni.. tapi ana harap untuk kali ini, enti cuba pertimbangkannya. Tahun depan kita dah habis kuliah, bukankah itu antara syarat enti?". Fatimah tahu dia tidak akan berjaya sekiranya membiarkan Aisyah membuka sendiri rahsiah itu, bukan sehari dua dia mengenali Aisyah. Aisyah  memang hebat di pentas siasah dan medan tarbiyyah, namun jika soal ini dibincangkan pasti ada sahaja alasannya. Sedangakn jika dilihat dari segi masalah, rasanya tiada, jauh sekali masalah yang rumit. Umminya sentiasa merestui, malah mengharapkan Aisyah menerima dengan baik hasrat suci ini. 

    'Ummi bukan apa Imah, ummi takut Aisyah tak nak terima muslimin sebab dia tak nak ummi jauh darinya. Ummi kenal anak ummi, walaupun dia nampak kuat diluar, namun hatinya mudah tersentuh bila perkara berkaitan ini dibincangkan. Alasan yang selalu ummi dengar, nak sambung study, tak nak berpisah dengan ummi..sedangkan dia memang tak nak fikirkan hal ni, .risau ummi.' Kata-kata Puan Zubaidah, ummi kepada Aisyah masih terngiang-ngiang di pendengarannya. 'Ustazah harap Imah dapat bantu ya, cuba pujuk dan lembutkan sedikit hati sahabatmu', harapan Ustazah Izzati juga menyusup masuk di ruang mindanya. 'Aku kena buat sesuatu'

   Lantas Fatimah bersuara, memecah kesunyian antara meraka. "Diam tanda setuju..maknanya, enti setuju la?, ok...mudah kerja ana, ana akan maklumkan pada ustazah Izzati,". Fatimah ingin  berdiri, namun lengannya lantas dipegang kejap oleh Aisyah. "Enti..." renungan mata sahabatnya itu, menggambarkan segala-galanya. Dia faham, ada bebanan berat yang ditanggung di dasar hati sahabat baiknya itu. Sebagai sahabat dia perlu pecahkan bebanan itu dan membuang terus ke dasar lautan, biar tenggelam tak timbul lagi.

    "Aisyah...ana faham, walaupun enti tak cerita, ana tahu. Tak pelah, banyakkan istikharah dan solat hajat. Minta petunjuk darinya, Insya Allah jika tidak melalui mimpi, pasti akan terlintas dalam ketenangan hati yang diberikanNya. Percayalah sahabatku...Mula hari ni, buang semua prasangka negatif itu, cuba ambil ibrah dan mulakan persepsi yang baru dan sentiasa optimis!, boleh?". Fatimah menegakkan tangannya ke atas. Aisyah ketawa kecil melihat gelagat sahabatnya. Anggukan bersama senyuman yang terukir, menandakan hati dan mindanya kini seiring dengan apa yang dikatakan oleh Fatimah. Fatimah menggenggam jari sambil menaikkan ibu jarinya, tanda mengucapkan Selamat Berjaya untuk sahabatnya!.

  
    "Tapi, sekarang ni, kita kena fokus exam dulu cik NurFatimah Kalisyah...supaya, tahun depan kita mampu meraih segulung ijazah, kan?", Aisyah sudah mampu mengukir senyuman. "Eh, yalah...hehe..baiklah...F.O.K.U.S!". Dia tekad menggapai kejayaan itu, setelah termakbul, barulah impian yang satu lagi dicapainya. 'Utamakan yang lebih utama.' Hati kecilnya berazam seiring doa kudus kepada Ilahi. Ketawa kecil menyerikan ikatan persahabatan mereka. Kegembiraan mengakhiri sebuah episod duka.  Begitulah Janji Allah. Allah pasti  sentiasa ada untuk hambaNya.

Thursday, April 5, 2012

Tragedi itu...

"Jika Allah sayang hambaNya, semudah dan secepat kilat Dia akan mengambilnya semula, walau sebesar mana kasih sayang manusia terhadap Hamba Allah, namun, limpahan dan berkas-berkas Cinta Rabbul Izzati lagi besar dan melimpah berbanding itu." Inilah bait-bait kata yang menjadi penawar kepada hati yang pilu, disentap Tuhannya dengan dugaan yang tidak dijangkau oleh akal dan waktu...

   Helaian daun yang kering gugur ke bumi...ada juga daun yang masih hijau dan segar, juga jatuh melayang ke bawah. Fakta fzik : tarikan daya graviti. Biologi : memang sudah lumrah alam, yang berada di atas akan jatuh bila tiba waktunya. Namun, pegangan akidah; itulah TAKDIR namanya. Takdir yang telah ditentukan olehNya.

  Aisyah berteleku di birai katil, di atas sajadah Cinta. Lama termenung. berfikir dan merenung kesudahan kehidupan ini. "Sahabat (Nurul Hidayah Azizi & Fatini Muhamad)....bagai semalam baru kita bersama, kini antum tiada di sisi, pilu rasanya hati bila mengenangkan kisah suka duka kita bersama...yang dulu menjadi tempat curahan rasa, mengadu kasih, merayu simpati, bila manusia lain tidak peduli. Kini..antum pergi dan takkan kembali. Hanya doa yang mampu mengiringi, semoga antum ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang sentiasa mendapt rahmat dan kasih sayang Rabbi. 

"Enti, ana risau melihat enti begini...banyakkan bersabar dan letakkan semuanya pada Allah. Allah tahu yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Kesedihan yang berterusan begini menunjukkan enti tidak redha dengan takdirNya. Rindu..itu normal, tapi jangan terlalu mengikut perasaan. Ingat sahabat-sahabat dan adik-adik yang masih perlukan sokongan dan kekuatan kita. Jika kita lemah, mereka makin rebah. Kita kena kuat, enti", kata-katanya tadi halus menerjah kembali kotak ingatannya. Itulah kata dan nasihat yang diberikan kepada sahabatnya, Fatimah. Terasa ucapan itu indah meniti dibibir, namun dihati terasa perit untuk menerimanya. Bila bersendirian, dia juga lemah seperti mereka. Lemah untuk ujian ini. 

"La Tahzan! wahai Srikandi!!! kamu penerus dakwah ini. Jika satu rebah, jangan kamu pula yang mengalah. Medan ini masih panjang dan penuh duri yang berliku. Medan ini masih perlukan dai'e sepertimu. Jangan Kamu Lemah!!! Bangkit dan teruskan JIHAD ini. Jihad suci yang menjadi impian bersama kita dahulu. Mehna dan tribulasi itu makanan buat sang Pejuang yang percaya Jannah menantinya. Sabar & Redha. Ubat yang mujarab. Ana sayang antum kerana Allah."-Bisikan itu perlahan-lahan masuk ke setiap relung darah dan nadinya. Bangkit. Aisyah terpana. 'Enti???', enti masih hidup? ana rindu sangat dengan enti...mana Dayah? antum tidak bersama?'. Terlalu banyak rasanya yang ingin ditanya. Namun, bayangan itu hanya tersenyum memandangnya tanpa sebaris jawapan. 'Enti...?. Sekilas mata, bayangan hilang di pandangan mata kasar. 'Enti...', hangat rasanya air yang jatuh ke pipi. 

   "Ya Allah, berikan hamba kekuatan, untuk redha dengan setiap ketentuanMU. Hamba lemah ya Allah, hamba tidak kuat, bantulah hamba untuk meneruskan perjuangan menegakkan agamaMU. Ya Allah, sesungguhnya, Engkaulah sebaik-baik Penolong dan Pelindung."Amin. Terasa sedikit kekuatan menyusup masuk ke sanubari. Menguatkan jiwa dan raga. Masih ada sesuatu yang perlu diselesaikan.

  Buatmu Sahabat...semoga antum bahagia di sana menantikan kedatangan kami...Insya Allah kita akan bertemu.
  

Sunday, February 19, 2012

Selamat Kembali di 'Dunia Tarbiyyah'

Bismillah...Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakhbar!!!
Bermula semester baru. Tidak perlu menukar atau memperbaharui azam, sebaliknya teruskan tekad dan azam sebelum ini..:::Comprensive Excellent In Fardhu Muslim::::

  Melihat kedatangan adik-adik junior, terimbau kenangan sewaktu masih masih setahun jagung di kampus pentarbiyyahan ini. Dulu, ana juga pernah melalui perkara yang sama. Terasa 'excited' naik sememer dua, permulaan yang baharu untuk tahun pertama!!! Walaupun masih bersedih dengan perpisahan dengan ummi yang disayangi, namun kerenah sahabat-sahabat meringankan sedikit beban kerinduan di hati. Kini, semua itu berulang kembali, namun 'pelaku sejarah' nya bukan ana.

 "Assalamualaikum akak...akak senior kan? Nama akak sapa, ya? . Akak, nak pergi ke kampus baru ni, perlu tunggu bas kat mana, ya? Akak, nak cari  buku rujukan ni,kat rak mana, ya? (^_^)...."(Junior). Lumrah dunia kampus.

 "ya Rabbi!, aku salah print jaduallah, ni jadual sem lepas...takpelah lambat pun, ni kan 1st week, tak study lagi..wah, baju baru cik akak nie......"(Senior)

Telatah junior dan senior...

Pelbagai ragam dan kerenah....namun punya matlamat dan cita yang sama..."Meraih Kecemerlangan!!!"
Semoga semuanya terlaksana dan dipermudahkan olehNya.

Wednesday, February 15, 2012

Bahagian 4: Belajarlah Menulis Di atas Pasir


Sambil menunggu Khazinatul Asrar pulang dari musollah, Hajar mengambil satu keratan artikel di atas meja sahabatnya itu. Kelihatan artikel itu baru sahaja di print hari ini berikutan keadannya yang masih kemas.'Mesti ini salah satu pengisian dalam kolum "Suara Murobbi" yang diselia oleh Asrar,' bisik hati Hajar. Khazinatul Asrar merupakan penyelia Kolum Cerita Hati Sahabat, salah satu kolum dalam artikel bulanan Suara Murobbi. Pengisian yang wajib dikeluarkan dan diedarkan kepada mahasiswa kampus sebagai pengisian rohani. Dia kagum dengan semangat Khazinatul Asrar, walapun sibuk dengan tugasnya sebagai ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa, dia masih ada waktu untuk berdakwah dengan cara sedemikian. Tidak hairanlah jika dia dicalonkan sebagai pelajar yang akan menerima Anugerah Emas Di-Raja. Akademiknya sentiasa tercalon dalam rangking tiga teratas dalam fakulti. Setanding dengan penglibatannya dalam bidang kokurikulum. 'Kau memang hebat Asrar, memang pantas kau menjadi dambaan ramai lelaki yang mengejar kesempurnaan,sedangkan aku...terlalu naif dengan semua ini.' hati Hajar merintih mengenang perbandingan dirinya dengan Khazinatul Asar. Lantas ditatap dan dihayati satu persatu 'cerita hati' sahabatnya itu.

DUA orang sahabat karib sedang berjalan melintasi sebuah gurun pasir. A dan B. Di tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba sahaja tercetus pertengkaran di antara mereka berdua. A telah menghadiahkan B satu tamparan yang hinggap di pipinya. B berasa sangat sakit hati tetapi tidak bertindak balas. Tanpa berkata apa-apa, B menulis di atas pasir : Hari ini, sahabat baik ku telah menampar mukaku. Kemudian mereka menruskan perjalanan sehinggalah mereka menemui sebuah kawasan subur di padang pasir. Mereka mengambil kata sepakat untuk mandi di oasis tersebut sebelum meneruskan perjalanan yang masih jauh.

Dalam asyik membersihkan diri masing-masing, B nyaris tenggelam dan lemas tetapi berjaya diselamatkan oleh sahabatnya, A. Ketika B mulai sedar dari lemas dan hilang rasa takut, dia menulis di atas sebuah batu : Hari ini,sahabat baikku telah menyelamatkan nyawaku.

A bertanya: “kenapa setelah aku melukai hatimu,kau menulis di atas pasir. Dan sekarang,kenapa pula kau menulis di atas batu? Sambil tersenyum, B berkata : : “ketika seorang sahabat melukai kita,kita harus menulisnya di atas pasir agar angin maaf datang menghembus dan menghapuskn tulisan itu. Dan apabila sesuatu yang luar biasa terjadi,kita harus memahatnya di atas batu hati kita,agar tidak hilang ditiup sang bayu.”

Moral cerita, dalam khidupan seharian kita, sering terjadinya perbezaan pendapat dan konflik disebabkan oleh pandangan kita yang juga berbeza-beza. Oleh itu,cubalah untuk saling memaafkan dan melupakan perselisihan lalu. Belajarlah menulis di atas pasir.

Seperti jua kata para hukamak- “Lupakanlah kesilapan yang dilakukan oleh orang lain kpd kita,tetapi ingatlah kebaikan orang kepada kita,lupakanlah kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain,tetapi ingatlah kesilapan dan keburukan yang kita lakukan kepada orang lain”….kerana hidup ini terlalu singkat untuk kita tidak melakukan kebaikan dan memaafkan kesilapan insan lain..kerana setiap makhluk akan kembali kepadaNya.

Tanpa disedari, ada manik jernih menelusuri pipi Hajar Sakinah. 'Ya, kenapa aku tidak tuliskan sahaja semua ketidakpuasan ini di atas pasir? biar nanti boleh hilang apabila ombak laut datang menghapuskannya. Mudah-mudahan dengan itu, aku mampu lupakan semua kesakitan yang aku alami...', Hajar meratap hiba.