Friday, January 20, 2012

Syauqah Wardah

Bab 1

CUTI pertengahan semester telah berakhir. Peperiksaan akhir semakin hampir. Segulung ijazah menjadi salah satu agenda perjuangan setiap mahasiswa. Sudah tentu ijazah yang diidamkan adalah ijazah yang mengukir keputusan cemerlang. Perpustakaan dimanfaatkan sebaik-baiknya pada musim-musim peperiksaan sebegitu. Dalam kalangan ramai mahasiswa, ada golongan yang hanya memperjuangkan segulung ijazah dan ada juga golongan berjiwa ikhlas yang memperjuangkan keredaan Allah dalam menuntut ilmu. Bertuahnya golongan kedua kerana dia mempunyai kelebihan reda Allah dan ijazah berbanding mereka yang hanya mendapat segulung kertas bernama ijazah semata-mata.
Bara peperiksaan semakin membahang, di sana-sini kelihatan pelajar sibuk mengadakan diskusi, membaca dan mengulang kaji. Suasana lepak dan santai tidak lagi kelihatan. Masing-masing bertemankan buku-buku pelajaran. Wajah-wajah serius jelas terpancar pada kebanyakan pelajar. Bagi mahasiswa tahun akhir, kesibukan mereka tentunya lebih berganda kerana itulah peperiksaan terakhir yang akan menentukan CGPA mereka. Mereka berjuang habis-habisan melebihi sebelumnya.
"Asrar, anti baca apa tu?" Faranaqwiah hairan melihat Khazinatul Asrar asyik menatap komputer riba. Mereka duduk bertentangan di dalam perpustakaan.
"Baca tazkirah tentang peranan wanita. Nak naikkan roh berjuang sebelum mengulang kaji." Ujar Khazinatul Asrar. Dia sedang meneroka internet dan melayari laman emelnya.
"Tentu daripada si dia, ehem-ehem. Bagus betul dia, dalam sibuk-sibuk nak exam macam ni pun, sempat lagi beri peringatan kat anti," Faranaqwiah mengusik.
"Si dia? Siapa?", Khazinatul Asrar terkejut dengan kata-kata Faranaqwiah. Dia tahu Faranaqwiah serkap jarang namun sangkaannya memang tepat. Ada rahsiah yang Khazinatul Asrar sembunyikan. Dia bimbang jika Faranaqwiah mengetahuinya.
"Siapa lagi... saya dah lama membaca suara hati awak pada dia. Awak dan dia memang sepadan. "
"Suara hati saya pada dia?. Awak ni pandai-pandai saja. Farah, kami takda apa-apa. Syariat tetap membatasi kami. Khazinatul Asrar tertanya-tanya tentang siapa yang Faranaqwiah maksudkan namun dia tidak dapat mengelak lagi. Faranaqwiah memang pandai membaca riak wajahnya.
"Asrar, ana doakan moga Allah merahmati hajat dia pada anti. Binalah rumah tangga muslim hingga ke anak cucu, " Faranaqwiah mengusik lagi.
'Macam mana dia tahu? mungkin dia hanya membuat andaian,' monolog Khazinatul Asrar.
"Ke situ pula," ujarnya.
"Jangan jual mahal sangat, kasihan bakal doktor tu. Kalau saya jadi awak, saya tentu simpati padanya, lagipun dia nampak soleh."
"Farah, anti suka usik ana. Tak naklah duduk sini lagi, lagho ana jadinya," Khazinatul Asrar pura-pura merajuk. Nampaknya, Faranaqwiah masih tidak mengetahui perkara sebenar.
"Ana minta maaf. Anti tak perlu ke mana-mana. Ana memang dah nak balik ni. Ana bukan suka sangat belajar kat perpustakaan waktu nak exam macam ni. Susah nak jaga pandangan mata patutlah ilmu susah tembus di hati." Faranaqwiah mengemas buku-bukunya. Khazinatul Asrar akur dengan pemergian sahabatnya. Perlahan-lahan dia menggerakkan jari untuk memberi arahan kepada petunjuk tetikus. E-tazkirah pemberian seseorang itu diulang baca dengan penuh keinsafan.

No comments: