
Sekian kali...
"Dengan Menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Yang menguasai hari pembalasan, Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan, Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, (iaitu)jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) jalan mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. Ameen. (Al-fatihah:1-7)

Warkah dari seorang lelaki kepada wanita beriman.
Allah berfirman: " Dan nikahkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." ( Surah An Nur ayat 32 )
Cuba kita fikirkan sejenak tentang ayat yang mulia ini dan apakah kebenaran ayat ini. Generasi hari ini menganggap bahawa kestabilan ekonomi yang sejajar dengan dunia moden adalah sukatan terhadap kelayakan seorang lelaki untuk berkahwin. Adakah kita tidak yakin dengan Sunnatullah yang Allah janjikan dalam ayat di atas ?
Adakah kita tidak memerhatikan rezeki ibu bapa kita berubah dari tahun ke tahun dan berkadar langsung dengan penambahan adik beradik kita ? Bukankah dari segi logik akal , semakin banyak adik beradik semakin sempit hidup ? Mengapa kurniaan yang kita nikmati hari ini sangat bercanggahan dengan logik akal itu ? Adakah sama ekonomi ibu bapa kita dan atuk nenek kita pada masa kini berbanding puluhan tahun lepas jika mereka orang yang tetap mendirikan solat dan menunaikan zakat ? Kita tahu semua jawapannya dengan jelas.
Kita telah menjadi saksi terhadap perjalanan hidup kita dan juga menjadi saksi terhadap perjalanan hidup ibu bapa kita jika mereka orang yang beriman. Kalaulah kebenaran itu sudah di depan mata dan bukti sunnatullah dari nas Quran sudah dibentang, mengapa kita perlu menokok tambah teori perkahwinan dan hukum pernikahan yang tidak berasal dari Allah dan Rasul lalu menganggapnya sebagai baik ? Jika kita merasakan akal kita pintar, semestinya kepintaran itu dibuktikan dengan kita menganggap pencipta akal itu lebih pintar berbanding kita. Maka pilihan yang paling tepat dan waras ialah meyakini janji-janji Allah sebagai pencipta sekalian alam.
Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi siapa yang dikehendaki-Nya), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ( Surah As Saba ayat 36 )
Menariknya Allah mengatakan " kebanyakan manusia tidak mengetahui ". Mengapa kebanyakan manusia tidak mengetahuinya dan hanya sedikit yang menyedarinya ? Kerana kebanyakan manusia menjangkakan rezekinya hanya daripada gajinya sebagai jurutera, doktor, peguam dan lain-lain. Jika Allah menghalang rezeki itu dari sampai kepada majikannya, kepada siapa lagi boleh mereka meletakkan pengharapan selain daripada Allah ? Kebanyakan manusia menjangkakan bahawa dia boleh menjadi senang dengan bekerja di sektor kerajaan dan mereka menghitung-hitung wang pencen yang bakal mereka terima 40 tahun akan datang. Perbuatan ini tidak ubah seperti mereka yakin mereka dapat hidup tanpa mati sehingga waktu mereka menerima wang tersebut. Tahanlah kematian dari diri mereka sebelum pencen jika mereka orang-orang yang benar !
Kita memuji wanita-wanita yang bernikah muda ketika keperluan nikah datang kepada mereka. Adakah kita masih tidak sampai ke tahap perlunya nikah di zaman yang serba mencabar ini ? Syabas buat wanita yang bernikah muda atau yang sedang merancang dengan bertunang .Kalian membuat keputusan yang meningkatkan kemuliaan dan maruah kalian di sisi Allah. Biarlah apa sahaja tuduhan yang dilontarkan kepada kalian. Paling tidak kalian berjaya membuktikan takutnya kalian kepada Allah dengan mengambil keputusan untuk bernikah. Untuk apa kalian bernikah jika bukan kerana takut kepada azab Allah ?
Bagi mereka yang menghalangi dan menyusahkan perkahwinan dengan teori akal dan adat, mengapakah mereka menganggap pernikahan itu suatu yang lucah sehingga setiap pelakunya perlu diuji dan diberi banyak halangan ? Mengapakah pelaku nikah itu dianggap sedang " gatal hendak berkahwin " ? Tidakkah pernikahan itu ibadah dan tidakkah perbuatan menyusahkan perkahwinan itu sama dengan perbuatan menyukarkan perjalanan seseorang ke masjid ?
Bagi wanita yang ingin meneruskan hasrat murni ini, bulatkan tekad, kuatkan azam dan bertawakkal lah kepada Allah yang menciptakan kalian dari jiwa yang satu ( Adam ). Sesungguhnya Sunnatullah di muka bumi itu lebih besar dari setiap teori akal manusia. Sunnatullah pasti akan berjalan seperti yang dijanjikan sekalipun cuba dihalang oleh sekalian makhluk. Tidak mengapa jika kalian diherdik dan dipandang serong oleh makhluk di bumi asalkan kalian dipandang mulia dan diredhai yang di langit. Insyaallah.
Sekadar Perkongsian...
Rasulullah Bersabda : " Barangsiapa menyembunyikan ilmu ( agama ketika masyarakat memerlukannya ), maka Allah akan mengikatnya dengan tali kekang dari api neraka pada hari kiamat " ( Hadis Riwayat Ibn Hibban. Sahih Ibn Hibban )Wallahua'lam.

Alkisah. Tuhan memerlukan waktu yang cukup untuk menciptakan wanita, padahal boleh saja Allah menyatakan “KUN FAYAKUN”, ‘jadilah, maka jadi’. Tetapi Allah Maha Bijaksana, memberikan pelajaran dan pengajaran kepada manusia bahawa apapun yang hendak dibuat dan dilakukan harus tersedia waktu yang cukup dan perlu proses.
Malaikat menghadap Allah dan bertanya :
“ya Allah, mengapa memerlukan waktu untuk menciptakan wanita ini?”
Allah s.w.t menjawab :
“Apakah engkau memehatikan seluruh keistimewaan dan sifat yang ada pada ciptaan-Ku ini? Ciptaan ini harus memiliki lebih dari 200 organ yang selalu bergerak agar mampu menjalankan semua tugasnya. Ciptaan ini kelak harus mampu membuat enak segala macam makanan yang dihidangkan. Dia harus kuat mengandung anak dan sanggup melahirkan berkali-kali. Dia harus memberikan cinta yang dapat menyembuhkan rasa sakit, walau dia sendiri merasakan sakit. Dia harus mampu melakukan segala sesuatu hanya dengan dua tangan-Nya”.
Malaikat terkejut dan berkata :
“Hanya dengan dua tangan, dua tangan! Ini adalah hal yang mustahil”.
Allah terus melanjutkan ciptaan-Nya. Lalu kepada malaikat Allah berfirman “
“Tunggulah sampai esok, aku akan menyelesaikan semuanya. Tunggulah sebentar! Ciptaan ini akan segera selesai. Dia ini akan selalu dekat dengan Aku. Dia mampu menyembuhkan dirinya saat jatuh sakit. Dia mampu bekerja sepanjang hari siang dan malam.”
Malaikat mendekati wanita yang sudah tercipta dan memegangnya, lalu bertanya kepada Allah :
“Tuhan, Engkau jadikan wanita ini sangat lembut!”.
Allah s.w.t menjawab :
“Ya, sesungguhnya dia sangat lembut, tetapi aku jadikan dia sangat kuat. Kamu tidak akan mampu menggambarkan sampai mana kekuatannya, dia mampu menanggung beban dan menahan diri untuk bersabar.”
Malaikat bertanya :
“apakah dia mampu berfikir?”
Allah menjawab :
“Tidak hanya berfikir, dia pandai mengambil hati dan pandai berbicara, dia pandai berdialog dan juga boleh berdebat.”
Malaikat memegang pipi wanita itu dan merasa asing, kemudian bertanya kepada Allah :
‘Tuhan mengapa pipinya ranum berkilau’
Allah menjawab :
‘itu bukan semata-mata ranum dan berkilau. Disitu tersimpan air mata, dan di situ terletak banyak beban berat.”
Malaikat bertanya :
“mengapa mengalirkan air mata.”
Allah menjawab :
“Air mata adalah satu-satunya cara untuk melepaskan beban. Mengalirnya air mata adalah cara untuk mengunggkapkan kesedihan, ketidaksenangan, pengaduan, kekecewaan, cinta, kebencian, kerinduan, kesendirian, kebahagiaan, dan segala macam rasa yang ada dalam dirinya.”
Subhanallah! Wanita adalah Mahakarya Allah yang Maha Agung. Wanita adalah karya Besar Allah yang sangat indah dan menawan. Wanita adalah keajaiban dunia, lebih ajaib daripada keajaiban dunia yang anda kenal. Wanita satu bentuk, beribu keajaiban yang menyertainya. Semua orang tahu wanita, tetapi tidak semua orang mengerti wanita.
© Wanita adalah sebaik-baik keindahan dunia. Tidak ada lebih berharga di dunia ini selain seorang wanita.
© Air mata wanita lebih dahsyat daripada undang2. titah Raja sekalipun dapat dibatalkan oleh air mata wanita.
© Bidadari syurga kalah cantik dengan wanita dunia. Wanita solehah di dunia lebih mulia dari bidadari syurga.
© Kecerdasan wanita lebih hebat dari lelaki. Wanita dapat berfikir bermacam-macam dalam satu waktu, sementara lelaki tidak dapat.
© Semua orang tahu wanita, tetapi tidak semua mengerti wanita.
© Wanita dicipta oleh Allah dengan fizikal yang lemah gemalai, tetapi kekuatan lelaki dapat dihancurkan berkeping-keping olehnya.
© Wanita dicipta dari tulang rusuk. Wanita pertama adalah Hawa. Dia dicipta tidak sama seperti Adam.
© Senjatanya. Tangisan adalah senjata wanita. Air mata adalah kekuatan wanita sekaligus kelemahannya. Bila wanita sudah mengalirkan air mata, maka kekuatan lelaki akan hancur. Bila seorang ibu sudah menitiskan air mata untuk anaknya, maka singgahsana Tuhan tergoncang.
Wanita dicipta Allah tidak sekali jadi.

Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.
Keayuan wanita solehah itu,
tidak terletak pada kecantikan wajahnya,
Kemanisan wanita solehah,
tidak terletak pada kemanjaannya,
Daya penarik wanita solehah itu,
Bukan pada kemanisan bicaranya yang
mengoncang iman para muslimin,
Dan bukan pula terletak pada
kebijaksanaannya bermain lidah,
memujuk rayu,
Bukan dan tidak sama sekali,
Kepetahan wanita solehah,
Bukan pada barang kemas
atau perihal orang lain,
Tapi pada perjuangannya meningkatkan
martabat agama.
Nafsu mengatakan wanita cantik dengan
paras rupa yang indah bak permata yang
menyeri alam,
Akal mengatakan wanita cantik atas
kemajuan dan kekebalannya dalam ilmu
serta pandai dari segala aspek,
Hati menyatakan kecantikan wanita
hanya pada akhlaknya,
Itupun seandainya hati itu bersih untuk menilai.
Wahai wanita jangan dibangga dengan
kecantikan luaran,
kerana satu hari nanti ianya akan
lapuk di telan zaman,
Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalaman,
Agar diri ini bersih dan sentiasa
mendapat Rahmat ilahi,
Wahai wanita jangan berbangga dengan
ilmu duniawi yang kau kuasai,
kerana ada lagi manusia yang lebih
berpegetahuan darimu,
Wahai wanita jangan pula berdukacita
atas kekurangan dirimu,
kerana ada lagi insan yang lebih malang darimu,
Wahai wanita solehah jangan dirisau akan jodohmu,
Kerana muslimin yang bijaksana itu
tidak akan terpaut pada wanita hanya
kerana kecantikannya,
Bersyukurlah diatas apa yang ada,
Serta berusaha demi keluarga, bangsa
dan agama.
"Wanita hiasan dunia, Seindah hiasan
adalah wanita solehah"


Salam Maal Hijrah...
Agak lewat untuk diucapkan, disebabkan kekangan waktu, ana seolah-olah terkejar-kejar dengan detik masa untuk melakarkan hadiah buat sahabiah semua. Diharapkan sedikit perkongsian ilmu ini sebagai "hadiah" untuk kita yang bergelar wanita. Semoga pelangi indah sentiasa bersama walapun adakalanya rona jingga dan kelam awan itu hadir mewarnai rona kehidupan pada tahun ini.
Pelbagai persoalan tentang wanita sering dikemukakan dan diulas serta menjadi isu utama perbincangan sejak berdekad yang lalu. Malah perdebatan hal-hal yang berkaitan wanita semakin hangat diperkatakan seiring dengan perkembangan zaman. Sungguh hebat seorang wanita, nama dan statusnya juga turut tertulis di dalam al-Quran serta sering disebut dalam lipatan sejarah.
Khadijah isteri Rasulullah saw., Maryam ibu Isa as., Asiah isteri Firaun, Khaulah al-Azwar Penghayun Pedang Perang, Zainab al-Ghazali, dan ramai lagi tokoh wanita Islam yang gemilang. Termasuk juga wanita hebat yang melahirkan dan membesarkan kita.
Manusia yang mempercayai hakikat kehidupan, penciptaan alam, SUNNATULLAH, akan tahu dan faham bagaimana hakikat kejadian seorang wanita, penghidupannya, dan ke mana kesudahannya selepas kehidupan ini.
Lantaran itu, wanita seharusnya dan wajib tahu hakikat kejadian hidupnya, serta peranan dan tanggungjawabnya dalam kehidupan.
At-Tin
"Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus."
(At-Tin, 95:4-6)
Wanita Pada Pandangan Barat
Peradaban Barat telah melabelkan wanita sebagai jantina yang berlawanan dengan lelaki yang lebih dikenali sebagai golongan yang menggoda, menawan, dan merangsang naluri jantina yang berlawanan dengannya.
Apa yang mereka inginkan dari wanita adalah sentiasa menjadi perhiasan mata, hati dan jiwa. Mereka hanyalah golongan pemuas nafsu lelaki.
Doktrin yang ditanam oleh Barat inilah yang menjadikan wanita pada hari ini sentiasa berlumba-lumba ke arah kecantikan luaran, perebutan cinta murahan, malah sehingga sanggup menggadaikan diri sendiri.
Perlabelan yang telah ditanda hargakan itu menyebabkan maruah dan kedudukan wanita berada di tangga "TOP WORST".
Malah golongan wanita ini diberikan penghargaan dan pingat tersendiri dalam menayangkan kecantikan, kemulusan dan keghairahan masing-masing kepada suatu benda yang tidak bernyawa seperti dalam mempromosikan sesuatu barang.
Wanita dijadikan sebagai model untuk melariskan barangan jualan daripada barang-barang kegunaan wanita sehinggalah kepada pengiklanan jualan kenderaan.
Rendahnya martabat wanita seolah-olah sama nilai dengan barangan yang diperdagangkan.
Fenomena eksploitasi wanita ini semakin meningkat dengan jajaran masa yang mendorong wanita membebaskan diri dari tanggungjawab asal hakikat penciptaannya iaitu sebagai isteri, ibu, pendidik generasi pelapis, serta sayap kiri perjuangan suami.
Eksploitasi ini berlaku sehingga wanita akhirnya telah memasuki "alam" lelaki yang bertentangan dengan fitrah asal kejadiannya.
Ahli Falsafah Socrates pernah berkata :
Kewujudan wanita menjadi punca utama krisis dan kemerosotan dunia. Mereka ibarat sebatang pokok beracun. Di luar nampak cantik, tetapi sebaik sahaja seekor burung memakannya, ia mati pada masa itu juga.
(Dipetik daripada buku: Apa kata Islam Mengenai Wanita Berpolitik)
Wanita Pada Pandangan Islam
Islam telah meletakkan maruah dan kedudukan wanita pada tempat yang mulia. Sungguh bertentangan dengan nilai dan eksploitasi yang ditunjukan oleh Barat.
Wanita pada sudut dan pandangan Islam terletak pada kedudukan yang tinggi, asli lagi harmoni. Maruah dan kehormatannya ditatang dan dijaga sebaiknya ibarat emas permata dan segala perhiasan yang tidak ternilai harganya.
Allah telah mewujudkan peranan antara lelaki dan wanita yang berbeza-beza namun kedua-duanya seiring penting. Tidak berperanan salah satu maka pincanglah semua.
Dalam pembentukan sebuah institusi kekeluargaan, tidak akan sempurna tanpa kedua-dua jantina ini. Pembentukan masyarakat dan pembinaan peradaban Islam memerlukan wanita tampil menyumbangkan tenaga dan memainkan peranan sebagai sayap kiri lelaki. Tampil memimpin golongan wanita, turut memerah otak memikirkan kelangsungan strategi dakwah, mendidik generasi baru Islam malah turut serta menghayun pedang perjuangan.
Allah tidak memandang wanita dengan pandangan yang berat sebelah. Buktinya adalah, di dalam surah Al-Ahzab ayat 35.
al-Ahzab
"Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, Allah menyediakan untuk mereka ampunan yang besar."
Kewujudan artikel ini sebenarnya untuk menangkis beberapa pandangan dan persepsi kuno mengenai wanita.
Sehinggalah pada hari ini, doktrin yang ditanam oleh Barat tentang wanita adalah selemah-lemah kaum masih lagi bertapak di pemikiran. Pemikiran inilah yang menyekat dan membataskan kemampuan wanita secara halus.
Hakikatnya, wanita bukanlah ingin menyaingi lelaki. Wanita juga tidak perlu menukar watak menjadi tomboy untuk membuktikan kekuatan dan ketabahannya. Wanita juga tidak perlu menjadi ganas semata-mata tidak mahu dipandang lemah.
Wanita insan tabah. Dijadikan oleh Allah swt. dengan sifat yang lemah lembut. Sesuai dengan peranannya sebagai pendidik anak-anak.
Disaat terbentuknya bayi di dalam rahim dan kemudian dikandung selama sembilan bulan 10 hari, seterusnya kelahiran bayi telah membuktikan kehebatan dan ketabahan seorang wanita. Belum ditambah dengan kesabarannya dalam proses menyusukan dan mendidik anak sehinggalah mereka dewasa dan mampu berfikir dan berdikari sendiri.
Wanita Insan Tabah
Bagaimana pula wanita yang masih di peringkat remaja? Tidak hebatkah mereka? Tidak kuatkah mereka?
Ya, jawab dengan yakin bahawa remaja wanita juga insan tabah.
Di mana ukuran ketabahan dan kekuatan itu?
Ukuran ketabahan itu adalah disaat mereka mampu melawan musuh-musuh dalam lipatan sendiri iaitu nafsu. Disaat hadirnya godaan-godaan syaitan, manusia dan seangkatannya, mereka melawan dengan keyakinan berpegang teguh pada ALLAH.
Perkembangan dunia yang pesat, pembangunan yang semakin global namun, wanita sedaya upaya membenteng diri dari terpengaruh dengan pelbagai godaan duniawi ini.
Melawan nafsu adalah jihad! Benar, inilah jihad yang perlu dipertahankan dalam diri setiap wanita. Dengan pendidikan dan tarbiyyah diri, yakinlah wanita yang dulu dipandang lemah merupakan insan hebat kerana mampu mempertahankan maruah sendiri daripada tergadai oleh godaan dunia.
Lemah Lembut atau Lembik
Kebanyakan dari kita sukar untuk membezakan antara wanita bersifat lemah lembut dengan wanita yang bersifat lembik. Kita perlu faham istilah lembik dan lemah lembut adalah satu entiti yang berbeza.
Lembik adalah sifat negatif, manakala lemah lembut merupakan sifat positif bagi wanita.
Wanita yang lembik definisikan sebagai lemah, tidak mampu untuk hidup berdikari tanpa kebergantungan pada orang lain, penakut, serta tidak berupaya menghadapi cabaran. Ia lebih bersifat seolah mengada-ngada.
Berbeza pula dengan lemah lembut, menurut Profesor Meadley, wanita yang bersifat lemah lembut adalah wanita yang mempunyai hati yang kuat, bisa melentur namun sulit untuk dipatahkan serta mampu hidup berdikari.
Lantaran perbezaan definisi inilah maka kaum wanita perlu memahami sifat yang bagaimanakah yang perlu dimiliki untuk menjadi wanita sejati, yang mampu menggoncangkan dunia.
Fitrah seorang wanita untuk memiliki sifat lemah lembut. Lemah lembut merupakan kekuatan kaum wanita. Wanita yang memiliki sifat inilah yang dimaksudkan dalam peribahasa Melayuyang berbunyi "Tangan Yang Menghayun Buaian Mampu Menggoncang Dunia".
Andalah apa yang anda fikirkan. Kuat atau lemahnya anda adalah dari apa yang anda fikirkan. Peganglah hati supaya anda tidak mudah merasa lemah. Paculah kekuatan diri dengan teguhkan kebergantungan pada Allah, kerana kekuatan hati dan kecekalan jiwa datang daripada-Nya.
