Sunday, April 24, 2011

Rindu Kedamaian Laut China Selatan


Pagi itu, hembusan bayu mengusap lembut pipi Aisyah sekilas membuka jendela biliknya. "Subhanallah...Maha Suci Engkau Ya Allah, Sesungguhnya tidaklah sia-sia kesempurnaan kejadian langit dan bumi yang Engkau ciptakan untuk hamba-hambaMU yang beriman..." lancar sahaja pancainderanya memuji keagungan Pencipta. Usai menunaikan Solat Subuh dan membaca al-Mathurat, dia beralih dari surau ke bilik asramanya. Kerinduan tiupan bayu negerinya seakan-akan memanggil muslimah itu mengingati insan-insan yang disayangi, 'ummi...' Kerinduan sentiasa menggamit hati kecilnya. Namun perjuangan disini masih menuntut pengorbanan, kerana prinsip hidup di alam fana ini sebagaimana yang diyakini, setiap kejayaan yang ingin diraih memerlukan pengorbanan yang sebagai galang ganti. Semakin sukar ujian yang dihadapi, Insya Allah...semakin manis nikmat kejayaan yang bakal ditemui. Janji Allah itu pasti...

'Mood Exam' masih terasa walaupun kini sudah 3 minggu berdepan dengan medan ilmu ini. Sahabat-sahabat semakin ramai yang mendekatkan diri pada Ilahi di saat pecutan terakhir, bermula dengan Solat Hajat sehinggalah ke Qiamulaill, surau Kolej Amiratul Husna' sentiasa diisi dengan insan-insan yang menginginkan redha Ilahi. Aisyah sendiri masih ada sehari lagi untuk menzahirkan cetusan minda di kertas jawapan. Menunggu dalam tempoh seminggu, masa yang terluang perlu diisi dengan pelbagai pengisian agar hati kecil itu tidak lalai daripada hakikat perjuangan hidup yang sebenar.

Triiit..triit.."salam. Sya, da helmt x?" bunyi mesej menyedarkan Aisyah Humairah. "em, xda, suma org guna, napa ya?" Mesej dari Hafizah Farhana, coursemate Aisyah. "oic, k takpe, nak g ktm...awk kat ne?" "emm, maaf ya. xdpt bntu.. dlm keta, nak g ampang (^_^)." "ampang???buat pe? " "emm, ada prgm dgn adik2 Maahad Tahfiz, jd fc." "uiii, yb jd fc pulok da, hehe". "yala 2, awk ni, dah2 jln lelok, smpai uma, kim slm ngan mak yea.." Aisyah tersenyum melayan kerenah sahabat kampusnya itu. Hafizah....gadis hitam manis yang lembut hatinya. Pada awal pertemuan, Aisyah melihat ada 'nur' yang boleh digilap di wajah gadis itu. Alhamdulillah, kini perlahan-lahan dakwahnya selama ini sampai ke dasar hati Hafizah.

"Ustazah, janganlah balik..."kata-kata Asyratuluna, si kecil berusia 7 tahun itu dengan lingangan air mata menyentuh perasaan Aisyah. Sambil memeluk dan mengusap belakang adik kecil itu, Aisyah menyapu air mata Una. "Una...jangan sedih, Insya Allah nanti ada masa lagi, ustazah datang lagi ya. Kalau sayang dan rindu kat Ustazah, Una kena doakan ustazah, ye...kalau nak doa, Una kena solat dulu, jadi Una kena janji dengan Ustazah, kena rajin solat, jangan tinggal solat ya...Ustazah sayang Una." Genangan air mata Aisyah akhirnya tumpah sebaik memeluk tubuh polos Una. Kenangan cerita di Maahad Tahfiz Munawarah, sentiasa tersimpan kemas di hati Aisyah. Insan-insan yang hadir dalam hidupnya, sedikit sebanyak mengubati kerinduannya kepada kampung halaman, kecantikan Laut China Selatan, hembusan bayu dan lambaian Gunung Kinabalu disulami leretan senyuman ummi yang dirindu....

Setiap pertemuan,
pasti ada perpisahan,
insan di bumi dikenali,
bukan untuk dimiliki,
hanya sebagai warna-warni,
dalam kembara hidup,
hamba yang mengabdi...
kepada Ilahi,

Ingatlah...

"Jangan Tangisi Satu Perpisahan Sekiranya Kita tak Menghargai Sebuah Pertemuan"

No comments: