Friday, November 12, 2010

BerQisah...(part 1)


Berhati-hatilah dengan HATI...

Insyirah mengintai ke luar jendela yang dibuka sedikit untuk melihat mentari tengahari. Menyaksikan padang universitinya yang dibasahi hujan yang turun sejak subuh tadi. Sudah tiga hari hujan turun tiada hentinya. Keadaan ini biasa berlaku di negeri-negeri di pantai timur.

Hujung tahun bermakna mulanya musim tengkujuh. Tidak pernah terdetik di fikirannya akan tercampak ke negeri yang terkenal dengan Pahlawan Pasir Salak ini. Masakan tidak, dari kecil hingga kini, tak pernah dia berenggang dengan keluarganya sejauh ini.

Seluruh perasaan masih merintih akan masalah yang masih memberati fikirannya. Saban masa, dia bersungguh-sungguh berdoa agar Allah membendung perasaan kasihnya terhadap seseorang yang membuatkan hatinya kini gundah gulana. Alangkah merananya dia dalam keadaan ini. Hatta ibarat terkena minyak pengasih.

"Ya Allah, suburkanlah cintaku pada-Mu.." rintih Insyirah.

Insyirah terduduk dan beristighfar.

"Susahnya bila ada masalah hati ni," keluh Insyirah.

Dia mengeluh sambil tangan menarik kerusi belajar. Usai duduk, dia mencapai buku Sejarah Dunia. Otak sudah diset untuk menyiapkan nota ringkas yang tertunggak sedari pagi tadi dek kerana melayan lamunan yang entah apa-apa. Seketika, dia membaca doa belajar yang ditampal di dinding meja studynya.

Sedang tangan ligat menulis The Renaissance dan Reformation of Martin Luther pada kertas kajang, azan Zohor berkumandang dari surau berdekatan. Sayup-sayup saja kedengaran laungan kemegahan itu dek kerana kedudukan surau itu yang jauh.

Habis saja dia membaca doa selepas azan, dia mengejutkan Aishah, rakan sebiliknya yang sedang tidur Qailullah (tidur sebentar sebelum waktu Zohor) katanya.

"Sha, Sha bangun. Dah azan dah.." sambil memanggil, dia mengoyang-goyang bahu Aishah.

Usai solat zuhur berjemaah di surau kolej yang dipimpin oleh seorang muslimin, Insyirah masih berteleku di atas sejadah. Memikirkan masalah 'hatinya'.

'Ya Allah, kenapa masalah ini juga yang terbayang-bayang? Berdosanya aku mengabaikan-Mu.'

Insyirah memejam mata sambil tangan kiri memicit pelipisnya. Tanpa disedari, bibirnya mengeluh. Cukup kuat untuk didengari Aishah yang sedang melipat sejadah.

Aishah memandang Insyirah sekilas.

"Syirah.." Aishah memanggil lembut.

Dalam mata yang masih terpejam, Insyirah masih bermonolog.

'Tu la syirah, kenapa tak jaga pandangan tu..'

"Syirah.." Aishah masih setia memanggil.

"Kan susah sekarang. Bukan kau sendiri tak tahu, daripada pandangan yang tidak terkawallah, hati boleh rosak."

"Syirah.." kening Aishah sudah berkerut.

"Parah ni. Tiga kali panggil tak berjawab."

Lantas, kaki melangkah ke arah Insyirah. Bahu rakannya itu disentuh lembut. Mata Insyirah terbuka. Memandang Aishah yang merenungnya dengan senyuman.

"Masih fikirkan masalah yang enti cerita kat ana semalam?" Aishah akhirnya duduk di sebelah Insyirah. Tangan yang dibahu, dibawa ke jari-jemari Insyirah pula. Digenggam erat.

Insyirah tersenyum tawar tanpa gula.

"Susahlah ukhti nak jaga hati ni. Tak terdaya rasanya" Insyirah meluahkan.

"Ukhti, Ukhti... memanglah susah ukhti nak jaga hati ni. Siapa kata senang? Sebab itu kita kena ada banteng kita sendiri. Ingat tak ceramah Ilaajul Qulub kelmarin? Ingat tak apa ustaz tu cakap. Err...apa nama ustaz tu? Aa Allah...ana lupa pula." Aishah mengaru dagunya sambil matanya memandang dinding surau, cuba mengingati nama ustaz tersebut.

Terimbas seketika ceramah bertajuk "Al-Qalbu kunci dalam mencorakkan peribadi unggul" yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Pendidikan Islam di universitinya. Memang bagus ceramahnya. Terasa bi'ah solehahnya di dewan itu yang rata-ratanya dihadiri kakak-kakak Jabatan Pendidikan Islam(JPI) yang majoritinya bertudung labuh.

"Ukhti ni... Ustaz Syed Hadzrullathfi lah nama ustaz tu.." Syirah menjawab. Mahu tergelak juga rasanya bila melihatkan Aishah yang bersungguh sangat memikir nama ustaz tersebut.

"Oh ye ke, ana lupa la ukhti. Ha, ingat tak apa ustaz tu cakap untuk menjaga hati ni?"

Insyirah menghela nafas panjang. "Ala Aishah ni, orang tanya dia, dia tanya orang balik."

"Jangan pernah redha dengan maksiat?" Insyirah menjawab kembali dalam nada bertanya."Lagi?""Tak bersungguh nak berubah?""Lagi?" Aishah seronok bertanya sambil tersenyum nipis."La...enti ni. Ana tanya enti, enti tanya ana balik." Insyirah menampar bahu Aishah.

Ketawa Aishah pecah.

"Sakitlah ukhti."Aishah memegang bahunya. Terasa sengal seketika."Tu la, buli orang lagi."

Aishah menarik nafas dalam. Memandang Insyirah sekilas sebelum memulakan bicara.

"Apa yang ana dapat tangkap pasal ceramah semalam, hati ini ukhti, kalau tak dididik, tak ditarbiyah, tak dipupuk, lama-lama hati kita ini akan kotor. Dan ruang untuk menjadi orang yang ingkar terbuka luas. Cuba enti semak kembali macam mana mutabaah (jadual muhasabah ibadah) enti sampai enti ada masalah hati dengan muslimin ni. Ana kira, andai kita betul-betul menghayati dan menjaga mutabaah kita, insyaAllah, hati kita terpelihara. Betul tak ukhti?"

Insyirah mengangguk. Mengiakan. Seketika cuba bermuhasabah kembali mutabaahnya yang tak terjaga akhir-akhir ini disebabkan terlalu banyak mesyuarat untuk program islamik yang dikendalikannya. Mungkin inilah sebabnya aku jadi begini.

"Enti cakap kat ana semalam, enti mula ada masalah hati dengan muslimin ini bila enti dilantik untuk uruskan program tu kan?"

Sekali lagi Insyirah mengangguk. Ya, dari situlah aku mula kenal dengan muslimin itu.

"Ukhti, enti kena ingat. Yang enti nak buat ni program islamik tau. Nak menyampaikan dakwah kepada masyarakat di luar sana. Andai enti sendiri sebagai pemimpin dah tersilap langkah, berdakwah dengan hati yang lagho, bagaimana dakwah enti nak berkesan?"

Senyuman masih tak lekang dari wajah bersih Aishah.

"Ukhti, ingat tak apa kak Hannisa pernah cakap masa usrah kita? Dia kata, jangan ingat enti buat maksiat ni, tidak memberi apa-apa kesan dalam hidup kita. Dan ana sangat terkesan dengan ayat tu. Ana ingat sampai sekarang ni."

Insyirah diam tak terkata. Tertunduk dia seketika sambil memintal hujung telekung yang masih tak dibuka. Kini, tinggal dia dan Aishah sahaja di dalam surau tersebut. Jemaah yang lain sudah lama beransur pergi.

"Asas segala kelalaian dan nafsu syahwat adalah kerana kita redha dengan nafsu dan maksiat yang kita lakukan. Dan asas ketaatan kepada Allah adalah kesedaran untuk merubah diri kita. Ana tak nafikan ukhti, dalam kita bermujahadah tak nak melakukan maksiat, ramai antara kita tersungkur kembali. Itu memang fitrah ukhti sebab bila kita nak berubah, kita takkan boleh secara mendadak. Kena perlahan-lahan.."

Insyirah merenung Aishah, cuba menghadam point-point yang dilontarkan.

"Dan itulah yang enti perlu lakukan sekarang ni. Bangkit semula ukhti. Ingat, enti adalah dai'e! Jangan mengalah pada syaitan yang takkan mahu kita bangkit kembali apabila kita dah tersungkur! Cuba ya ukhti. Jangan risau. Ana akan sentiasa bagi sokongan kat enti. Bila hadiri meeting nanti, cuba tajdid (perbaharui) niat dan kawal pandangan."

"Tapi kan ukhti, ana perasan, bila ada meeting je ana akan rasa excited. Entah la mungkin sebab dapat jumpa dengan dia tu? Tapi dalam masa yang sama, ana cuba jaga pandangan. Ana tak tahulah ukhti. Kadang-kadang terserempak dengan dia pun ana dah jadi tak betul," Insyirah akhirnya bersuara.

"Astaghfirullahal'azim Syirah..jangan macam tu. Rosak hati enti nanti bila enti berterusan begini. Ingatlah ukhti, sifat soleh muslimin tu, Allah yang ciptakan. Maka cintailah Dia yang menciptakan sifat soleh itu sendiri. Ana faham masalah enti ni. Bukan menimpa enti sorang sahaja. Bahkan, menimpa juga para dai'e di luar sana yang gagal menjaga hati dalam melakukan dakwah."

"Jangan putus asa, Insyirah. Allah Maha Bijaksana. Kita sama-sama muhasabah kembali. Cinta Allah itu sendiri kita masih merangkak-rangkak untuk mencari apatah lagi mahu mencari cinta manusia pula. Kita ni sebagai hamba-Nya akan sentiasa diuji. Dan ujian setiap orang itu berlainan."

"Ada yang diuji pelajarannya, ada yang diuji kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa, ada yang diuji kemiskinan, penyakit yang tak dapat diubati..tapi bagi enti, Allah sediakan ujian sebegini," Aishah mengulas panjang.

Alhamdulillah,kata-katanya itu semua ilham daripada Allah SWT untuk disampaikan kepada sahabat di depannya ini. Sayangnya dia pada Insyirah hanya Allah yang Mengetahui. Mungkinkah itu yang dinamakan ukhuwah fillah (persaudaraan kerana Allah SWT)?

"Tapi ana tengok kawan-kawan yang lain tu ok je. Tak rasa apa-apa pun bila berdepan dengan muslimin?" Insyirah mencelah.

Aishah menarik nafas sedalam mungkin. Namun, senyum masih menghiasi raut wajahnya.

"Mungkin ada antara mereka yang sudah ada benteng mereka sendiri. Come on ukhti. Evaluasi diri. Jaga mutabaah, sibukkan dengan benda-benda baik, insyaAllah akan buat enti tak fikir-fikirkan masalah ni ok," tangan Aishah merangkul bahu Insyirah.

Insyirah tersenyum kelat. Tanpa berkata apa-apa.

Beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana walaupun dia sering lalai, tak kuat mengharungi jalan perjuangan ini, tetapi masih ada sahabat yang saling mengingatinya. Sudah pasti ia adalah satu anugerah dari Allah SWT.

Sungguh, Allah itu ada di sisi hamba-Nya.

Sifat pengampun-Nya mendahului kemurkaan-Nya.

"Dah la tu. Jom pergi makan tengahari. Nanti sakit perut pulak. Pagi tadi makan biskut je kan," kata-kata Aishah mematikan lamunan Insyirah.


No comments: